Music Player

Friday, December 12, 2014

Allahuakbar

SubhanAllah... kuasa Tuhan itu sungguh ajaib sekali.

Masakan aku baru sahaja bersedih dengan sikap sesetengah manusia, lalu Allah hadirkan padaku manusia yang lebih menyayangi aku. Astaghfirullah, aku alpa terhadap mereka. Lupa untuk mengucap terima kasih di setiap nadi ku kerna telah menjaga aku, kerna selalu mengingatkan aku padaNya.

Di kala aku bersedih, pantas sahaja Allah menceriakan hidupku. Lihat, Allah tidak pernah lupa akan hambaNya. Tetapi, hamba Dia sendiri seakan lupa untuk terus bersyukur. Allahuakbar, ampunilah segala dosa kami Ya Allah.

Ya Allah, terima kasih untuk teman-teman yang Kau telah anugerahkan pada aku. Syukur Alhamdulillah aku dipertemukan sama mereka. Percaturan-Mu sungguh hebat. Tiada tandingnya.

Hati, semoga kau kuat

Fikiran merasa sesak dengan sosokan dan hasutan yang membuat aku rasa lelah. Lantas, teringatku akan satu frasa:
"Over-thinking kills"

Memang benar. Tepat sekali menusuk hati. Mengapa harus sesakkan fikiran dengan perkara yang tidak membawa faedah, malah menggusarkan jiwa lagi. Fikir apa sama manusia sombong? Yang tidak kenal arti terhutang budi. Bila mana ada masalah, pantas kau yang dicari. Tetapi, di waktu senang mereka? Ah, nama mu sahaja sudah jelek untuk didengari.

Manusia itukan bersifat pelupa. Kalau Tuhan dia sahaja, dia bisa lupa. Apakah kamu membawa signifikasi yang begitu besar dalam hidup mereka? Manusia juga seperti burung. Sesak kalau dikurung. Mahu terbang jauh. Kalau kau mahu pegang mereka sahaja, pasti mereka merasa rimas. Lepaskan sahaja, biarkan mereka.

Jangan pernah merasa bersendirian. Kau ada Tuhan! Tuhan itu selalu ada. Manusia itu juga bersifat sementara. Tuhanmu itu Yang Maha Kekal. Sematkan nama Dia di hatimu. Kau ingat Dia di waktu susah dan senangmu. Dibandingkan dengan manusia, cinta Tuhanmu itu lebih luas! Kau takkan pernah merasa sunyi.

Kalaupun ada manusia yang benar-benar dipanggil sahabat, mereka itu haruslah di kalangan orang yang selalu mengingatkan mu kepada Dia. Yang bibirnya basah dengan zikr dan nama Tuhanmu. Mereka ini lah teman mu di akhirat nanti, in sha Allah.

Usah merasa pedih dan sedih dengan manusia. Iya, mereka seringkali alpa. Namun, kau maafkanlah sahaja mereka. Layak atau tidak, itu antara mereka dengan Tuhan. Pujuklah hati untuk sentiasa memaafkan. Allah suka sama orang yang memaafkan saudaranya sendiri.



Do not be sad, nor worried,
You are not alone,
When you have Him in your heart,
You will have the rest of the world.

Saturday, November 29, 2014

Janganlah kau menangis, wahai hati

Maka terpisahlah jasad mereka, tidak lagi bersama. Tetapi, ada satu tali yang masih menarik jiwa mereka, mengeratkan rasa kasih dan sayang antara mereka. Bangun ku pagi ini merasa sesak, hati sarat dengan rasa rindu. Rindu yang tiada hujungnya. Setahun kita bersama, baru kini terasa kehilangannya. Terasa hubungan ini terlalu erat untuk dibiarkan begitu sahaja. Ralat hati ini untuk melepaskan. Banyak masa kita habiskan bersama. Tiada satu hari pun kita bersama yang tak membuat aku rasa kosong, mahupun sedih. Sering sahaja dihidangi gelak tawa dan jenaka. Masa, menagapa begitu deras kau bekerja? Kami kesuntukan masa. Tidak mampu mengejar kau. Masa itu juga sudah tiba untuk aku melepaskan kalian. Biarkan kalian dibawa derus angin walau ke hujung dunia sekalipun. Kejarlah kalian cita-cita yang sudah lama terpendam itu. Dan dari belakang, aku kan tetap menyokong mu dan yakin kau mampu, walaupun yang lain kurang keyakinan itu terhadap mu.

Sedih, tetapi aku bisa mengatasinya dengan izin Allah. Akan ku kuatkan diri ini demi kalian. Tetapi, jangan dilupakan aku, ya? Kau masih hidup dalam memori aku. Jangan risau dan gusar. Ahh, moga sahaja memori ini akan tersemat indah di minda dan di hati.

Berpisah kita pada zahirnya, tetapi utuh hati kita menyatu di dasar batin. Terima kasih kalian untuk segala-galanya.

Wednesday, November 5, 2014

Khilaf itu pasti, maka belajar!

Jangan sibuk mencari salah orang, hingga terlupa untuk menilai khilaf sendiri.
Dikata orang yang lupa kita, padahal mungkin juga kita pernah melakukan perkara yang sama.
What goes around comes around.
Asyik menunding jari, silap jari yang ditunding itu berbalik ke diri sendiri.
Salah orang nampak sahaja, apa kita ini sudah terlalu betulkah?
Sudah maksum, hingga terlepas dari silap?
Kalau begitu perkiraannya, bahaya!
Jangan sampai terjerat ke lembah kekufuran, ya sayang.

Eh, ini nota untuk semua. Tantapan dan refleksi untuk diri sendiri.

Tuesday, November 4, 2014

Miskin

Aku ini seorang yang miskin,
Miskin bukan pada harta,
(Ah bukan itu yang ku gusar!)
Tetapi,
Miskin jiwa, miskin adab, miskin agama sendiri.

Miskinku kerana kejahilanku sendiri,
Miskin aku kerana terlalu tamak mengejar duniawi,
Miskin sekali aku tidak mengenal arti cinta Tuhan yang sebenar,
Miskin jua aku kerana terlalu mengayakan apa yang sementara.

Dunia itu hanya suatu persinggahan, bukan?
Lantas kenapa harus aku utamakan?
Sedangkan yang terbentang luas itu adalah nikmat Allah pada hambaNya,
Yang tiada terkira, walau diukur seluas lautan,
Namun ku kaut keuntungan di dunia, dengan rakus sekali,
Tidak ku sadar, berciciran lah yang abadi itu,
Kerana kemenangan sejati di hatiku adalah yang palsu.

Sampai bila harusku hanyut di dalam arus dosa yang melemaskan?
Sampai bila aku harus hidup dalam kemiskinan,
Miskin yang membuatku rasa kosong,
Perih di hati yang tiada rawatnya,
Walau dilimpahi harta yang tiada penghujungnya,

Ya Rabb, Ya Kareem,
Tiada dustaku atas segala kemampuanMu,
Aku ingin kembali padaMu,
Aku rindu padaMu, pada RasulMu,
Tapi, mengapa hati ini begitu keras?
Untuk sadar?
Untuk bangkit dari lubang kejahilan yang makin dalam digali?
Sungguh, hati ini sudah tidak mampu menanggung rasa mati,
Mati yang tiada bercahaya, gelap gelita,
Moga sahaja, aku diberi kesempatan olehMu, Ya Rabb
Untuk masih, berdiri dan tersenyum di hari-hari yang mendatang,
Merasa syukur atas segala yang Kau berikan,
Untuk merasa puas dengan apa yang Kau hadiahkan,
Walau ia menjadikan ku miskin di dunia.
Kerna apa?
Kerna cintaMu yang tiada putus,
Membahagiakan setiap detik waktu, setiap nadi yang berdenyut, setiap langkah yang dijejaki.

Ya Rabb, indah sungguh perasaan itu.

Sunday, November 2, 2014


Wahai hati

Fikir orang punya rasa,
Hati sendiri yang binasa,
Lantas, bagaimana?

Jangan dikayakan hati orang, hati sendiri menjadi fakir.